expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Wednesday, March 23, 2016

Kisah Ikan Bawal

Aku berada di masjid Darul Quran bersama beberapa kawan sejak pagi lagi. 

Menjelang musim peperiksaan, memang wujud sekelompok pelajar yang akan i’tikaf di masjid dari pagi ke malam untuk mengulang hafazan. Pelajar banin kadang-kadang ada yang bawak selimut, tidur terus di masjid. Pelajar perempuan macam kami pulak, paling-paling pun dari subuh sampai tengah malam berkampung di masjid, bawak berus dan ubat gigi untuk bersugi setiap kali masuk waktu solat.

Tiang kedua dari tangga di bahagian saf paling belakang ialah port kebiasaan aku.

Tiang itulah saksi kepada bacaan-bacaan Al-Quran aku, saksi penumpahan air mata ketika menghafal, saksi kepada aku yang asyik terlena (setiap kali lena, lama pulak tu :P). Tiang itu jugalah pendengar setia alarm telefon aku. Haha

Hari itu, aku sedang bersiap sedia untuk peperiksaan sem pertama. Silibus yang akan disoal ialah Juzu’1-10. Ada satu sahaja lagi hari sebelum mula peperiksaan, sedangkan aku masih belum dapat mengulang habis silibus yang akan disoal.

Mengikut perancangan awal aku, aku sempat untuk habis mengulang sebelum peperiksaan. Tetapi selepas aku mengulang separuh silibus, aku tersedar bahawa ayat-ayat yang aku dah ulang dalam juzu’ awal-awal tu, aku dah lupa sikit-sikit (hafazan jangka masa panjang aku memang agak lemah. Huhu)

Aku hanya sempat mengulang sehingga Maqra’ 2 Juzu’ 9 sahaja. Dan aku terfikir untuk berhenti setakat itu. Kerana aku perlu masa untuk skim balik semua juzu’-juzu’ awal yang aku dah ulang. Takut apa yang aku dah ulang pun aku lupa, dan apa yang aku baru nak ulang nanti tak melekat pun di minda.

Waktu tu, aku stres sangat. Kalau mumtahin (ustaz yang jaga peperiksaan), tebuk Juzu’ 9 atau Juzu’ 10 macam mana? Aku tak nak gagal, aku tak nak kena buang dari Darul Quran.

Aku yang sedang dilema samada patut atau tak, tak mengulang juzu’ 9,10 supaya sempat skim balik juzu’-juzu’ sebelum..akhirnya call ayah aku, untuk meminta pendapat.

Seperti biasa, ‘Amira’ dan ‘menangis’ tak boleh dipisahkan. Aku dengan suara tersedu-sedu, lap hingus mengadu kat ayah;

“Papa, semua yang Mira ulang sebelum ni banyak yang Mira lupa. Mira kena tengok balik juzu'-juzu' yang Mira dah ulang sebelum ni tapi Mira tak ulang lagi Juzu’9 dengan Juzu’10. Papa redha tak kalau Mira tak ulang Juzu’ 9,10? Masa tak cukup untuk ulang semua. :’(“

Aku kalau rasa bersalah nak buat sesuatu, aku akan mintak keredhaan ayah aku. Kan redha Allah terletak pada redha ibu bapa? *literalis betul Amira ni. :P

Ayah aku jawab, “Apa Mira merepek ni? Dah la, Mira tanya la atuk.” Aku tahu ayah aku marah sebab aku tak habis mengulang, pastu sempat pulak mintak redha ayah aku untuk membenarkan tindakan aku. Haha

Bila ayah aku serahkan telefon kepada nenek aku, aku pun mengadu perkara yang sama.

Dan nenek aku jawab, “Ye lah. Atuk redha. Tapi Mira cuba la dulu untuk ulang semua ya?”

“InsyaAllah. Atuk tolong doakan mumtahin tu tak tebuk Juzu’ 9,10 tau.”

Dan bila ayah aku ambil kembali telefon itu, aku ceritakan yang nenek aku dah redha. “Papa pun redhakan lah jugak.”

“Hmm. Tapi Mira cuba jugak untuk habis ulang semua. Kalau dah tak boleh sangat, baru takyah ulang Juzu’ 9,10 tu.” Akhirnya ayah aku redha juaa~

Selepas bercakap dalam telefon, walaupun aku rasa lega sebab dah dapat keredhaan ayah dan nenek aku, aku masih lagi risau sekiranya mumtahin tebuk juzu’ yang aku tak ulang. Aku berdoa lagi dengan air mata mengalir selepas solat zohor; ‘Ya Allah, moga-moga mumtahin tak tebuk juzu’9 atau 10.”

Selepas berdoa, masih lagi aku risau. Kalau doa tu tak dimakbulkan macam mana? Banyak kemungkinan yang aku fikirkan di minda. Sehinggalah kawan aku ajak pergi makan tengahari di dewan makan.

Dalam perjalanan ke dewan makan, terlintas di hati aku nak makan ikan bawal.
Sesampainya di dewan makan, menu tengahari itu ialah: daging. Aku keciwa. Aku tak makan daging. Huhu

Aku beratur juga, makan nasi dengan kuah pun jadilah. Asalkan makan. Bila tiba giliran aku untuk mengambil makanan, aku berkata kepada akak yang sendukkan makanan.. “Akak, saya tak nak daging. Nak kuah je.”

“Awak tak makan daging ke? Haa, rezeki awak. Ada seekor lagi ikan bawal tinggal untuk budak-budak yang tak makan daging,” kakak tu berkata sambil menyendukkan ikan bawal ke pinggan aku.

Aku terdiam. Dan aku pandang sahaja ikan bawal di pinggan aku sehingga aku tiba ke meja makan.

Tiba-tiba sebak.

Aku cuma terlintas di hati je untuk makan ikan bawal, tapi Allah betul-betul perkenankan. Kalau lintasan hati pun Allah boleh perkenankan, kenapa aku tak yakin yang doa aku Allah boleh makbulkan?

Akhirnya aku bertawakal. Dalam masa yang singkat sebelum peperiksaan, aku mengulang kembali juzu’-juzu’ awal, memang tak sempat ulang Juzu’ 9,10. Dalam masa yang sama aku teruskan berdoa, agar mumtahin tak tebuk Juzu’ 9,10.

Ternyata, di bilik peperiksaan syafawi, mumtahin tak tebuk juzu’ yang aku tak ulang. Tapi.. juzu’-juzu’ yang ditebuk oleh mumtahin pulak, aku tak dapat jawab dengan lancar. Huhu. Salah aku sebenarnya. Aku terlalu fokus kepada juzu’ 9,10 yang aku tak ulang, sampai aku berdoa sungguh-sungguh supaya Allah tak takdirkan mumtahin untuk tebuk juzu’-juzu’ tu. Aku lupa untuk berdoa agar Allah lancarkan lidah aku menjawab sebarang soalan yang diberi oleh mumtahin. Keluar dari bilik peperiksaan, seperti biasa..aku menangis lagi. :P

Mujurlah ada Syidoh solehah yang tolong telefonkan Jabatan Quran untuk menenangkan hati ni. Syidoh tanyakan samada aku lulus atau gagal, dan Jabatan Quran beritahu kepada dia keputusan tak rasmi peperiksaan syafawi aku. Alhamdulillah, bila tahu yang aku lulus, barulah hati ini tenang untuk sambung mengulang bagi peperiksaan tahriri keesokan harinya. :)

Inilah Kisah Ikan Bawal.

Setiap kali aku rasa tak yakin samada Allah akan makbulkan doa aku atau tak, aku akan ingat kisah ini.

Ikan Bawal yang merupakan simbol lintasan hati.

Mana mungkin Allah yang mendengar lintasan hati itu tidak mendengar bilamana kita berdoa sungguh-sungguh kepadaNya.

Perkara yang kita harapkan ia berlaku tapi kita rasa ia mustahil untuk berlaku, sememangnya mustahil berlaku bilamana kita menisbahkan perkara itu kepada diri kita. Tapi bila kita berdoa, kita bersandar kepada kekuatan Allah untuk menyelesaikan perkara itu.

Kisah ini juga mengingatkan aku tentang bagaimana aku lupa untuk berdoa agar Allah lancarkan lidah aku menjawab peperiksaan syafawi haritu, kerana terlalu risau akan juzu’-juzu yang aku tak ulang.

Begitulah kita bila kita terlalu fokus pada masalah depan mata. Kita cenderung untuk berdoa agar diselesaikan masalah yang terzahir itu sahaja, sehingga lupa perkara yang lebih besar di sebalik masalah itu.

Kisah Ikan Bawal ini kisah yang sangat dekat dengan hati aku.

Kisah yang memberi aku harapan bahawa doa-doa aku didengari. Dan kerana doa-doa aku didengari, aku seharusnya meluaskan doa aku untuk sekalian alam, bukan hanya untuk diri aku sendiri.

“Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepadaKu nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur tidak mahu beribadah kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” – Ghafir:60


1 comment:

  1. Patutpun selalu heran dengan Mirae tetiba je menangis tetiba je berair mata. Rupanya tengah terharu dengan Allah :')

    Mirae banyak sangat fikir perkara yang orang lain tak pernah fikir dan setiap kali Mirae bagitahu itulah rasa sentap kenapa tak miliki hati yang mudah tersentuh macam Mirae.

    Tapi serious tak boleh lupa waktu Mirae masuk bilik dan menangis dengan sekuat hati sampai sanggup beranikan diri untuk telefon Jab Quran. Mirae duk elok-elok kat situ jangan nangis macam haritu dah tau nanti risau kemain orang Turki tu haha.

    ReplyDelete